SUBANG JAYA, 10 SEPT: Perkhidmatan Bas Smart Selangor secara percuma amat digemari penduduk sekitar Seri Kembangan, khususnya warga emas dan pelajar kerana ia pilihan mudah untuk perjalanan harian.
Lima laluan bas iaitu SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05 di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pernah dihentikan sementara pada Mei tahun ini sehingga menyukarkan penduduk setempat.
Bagi memastikan bas dapat bergerak lebih lancar di jalan sempit serta mengurangkan kos operasi, kelima-lima laluan tersebut kini kembali beroperasi dengan menggunakan bas mini sepenuhnya.

Wartawan Media Selangor berpeluang menaiki Bas Smart Selangor versi mini di kawasan Seri Kembangan, bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan Wong Siew Ki, baru-baru ini.
Pagi itu sekitar jam 10, wartawan menaiki bas mini dengan 20 tempat duduk.
Berbanding bas besar, bas mini lebih fleksibel dan mampu melalui jalan sempit di kawasan kampung baru dengan mudah, sekali gus mengelakkan situasi “bas besar tersangkut jalan”.
Menurut Siew Ki, perkhidmatan bas percuma di bawah MBSJ bukan sahaja memudahkan perjalanan penduduk, malah mengurangkan beban pengangkutan.
Beliau berkata, mini bas terbukti lebih sesuai di laluan sempit dan berharap penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ini.
Katanya, apabila sistem Bas Smart Selangor dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya pada masa hadapan, ia akan menjadi lebih mudah digunakan oleh orang ramai.