AMPANG JAYA, 10 SEPT: Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kini tidak hanya memanfaatkan pelajar negeri ini tetapi mula digunakan di sekolah luar Selangor.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata program tuisyen secara percuma itu telah digunakan di Pahang dan terbaharu di Kelantan.
“Penggunaan PTRS kini semakin meluas dan turut memanfaat pelajar luar Selangor. Dua minggu lalu, kita ke Kelantan untuk beri taklimat dan mereka setuju menggunakan modul PTRS untuk bantu pelajar.

“Modul ini akan mula digunakan di 20 buah sekolah melibat dua pejabat pendidikan daerah iaitu di Kota Bharu dan Tumpat.
“Di Pahang pula, modul PTRS digunakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Bukan itu sahaja, program didik kasih untuk program literasi murid kelas pemulihan juga digunakan di Kedah,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tasek Tambahan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM11 juta bagi melaksanakan PTRS 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.
PRTS memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.