SHAH ALAM, 10 SEPT: Orang ramai dijemput memeriahkan acara Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor@Gombak 2025 bermula 19 hingga 21 September ini.
Tourism Selangor menerusi Facebook memaklumkan acara bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu diadakan di Padang Awam Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves.
Pengunjung juga boleh hadir dengan berpakaian bertemakan baju etnik atau kebangsaan sepanjang acara tersebut berlangsung.
“Menariknya, penonton akan dihiburkan dengan persembahan istimewa ratu etnik negara Noraniza Idris dan penyanyi irama Malaysia Azizul Hakim.
“Dengarkan juga Keunikan alunan muzik gamelan, Gordang 9, angklung, kompang, pergendangan Melayu, Cina dan India yang bergabung menjadi satu irama kesatuan yang pasti memukau jiwa,” katanya.
Selain itu, turut diadakan Kenduri Rakyat yang akan menghidangkan pelbagai hidangan warisan kepada kira-kira 3,000 pengunjung terawal.
Persembahan Khas Konsert Pesta Muda Mudi yang dibawa khas oleh Kumpulan Wak Jeng pula diadakan pada 20 September 2025 jam 9 malam.
Pelbagai lagi aktiviti menarik menanti anda:
Karnival Ekstrem Park
Pertandingan karom
Pertandingan nyanyian lagu irama Malaysia
Pertandingan memasak makanan tradisi
Pertandingan gasing super league
Pertandingan sukaneka keluarga
Pertandingan mewarna kanak-kanak
Perkhemahan budaya Gua Damai
Senamrobik dan senam seni
Jualan makan minum