KLANG, 9 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM882 juta kepada 61,300 usahawan sejak 2015 hingga Julai lalu.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pembiayaan itu membabitkan 92,600 transaksi di bawah skim i-Bisnes dan Niaga Darul Ehsan (NaDI).

“Skim NaDI sahaja telah menyalurkan 550 pembiayaan sejak 2024 dengan jumlah RM4 juta. Berdasarkan rekod, skim ini berjaya mencatat bayaran balik sepenuhnya.
“Pendekatan diambil Hijrah Selangor dengan tawaran kadar istimewa 8.88 peratus merupakan inisiatif segar dalam menarik usahawan yang memerlukan bantuan dalam perniagaan,” katanya selepas melancarkan kempen Celebr8.88% NaDI Merdeka di sini hari ini.

Menurut Mohd Najwan, Hijrah Selangor juga sedang meneliti mekanisme terbaik untuk menetapkan kadar pembiayaan pada paras minimum agar tidak membebankan usahawan.
“Ramai tidak faham kadar pembiayaan ini untuk menampung kos operasi dan pentadbiran kerana Hijrah Selangor tidak menerima dana daripada Kerajaan Negeri.
“Kadar pembiayaan dikenakan bukan sewenang-wenangnya dan kutipan semula diterima diagihkan pula kepada usahawan lain yang memerlukan,” katanya.
Hijrah Selangor menawarkan dua skim utama iaitu i-Bisnes dengan pembiayaan sehingga RM50,000, manakala NaDI menyediakan modal sehingga RM50,000 khas untuk usahawan wanita mengembangkan perniagaan mereka.