ad

Zara Qairina hilang upaya bernafas, tahap sedar paling rendah

9 Sep 2025, 11:59 AM
Zara Qairina hilang upaya bernafas, tahap sedar paling rendah

KOTA KINABALU, 9 SEPT: Pegawai perubatan yang mengesahkan kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pelajar Tingkatan Satu itu berada pada tahap sedar paling rendah apabila dia hilang keupayaan untuk bernafas sendiri.

Dr Pavankumar Balachandran, 32, yang bertugas di Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini menjelaskan prognosisnya sangat serius, menunjukkan peluang remaja itu untuk terus hidup amat tipis, dan dia juga telah diintubasi serta disambungkan kepada ventilator mekanikal.

Saksi keempat berkenaan berkata demikian ketika ditanya pegawai pengendali inkues, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad pada hari keempat prosiding inkues berhubung kematian remaja terbabit.

Pegawai perubatan itu memberi keterangan bahawa penilaian awal neurologi terhadap Zara Qairina menunjukkan Glasgow Coma Scale (GCS) E1VTM1, dengan anak mata membesar serta ketiadaan refleks batang otak.

“Tahap sedar pesakit sangat rendah… skala E1VTM1 menunjukkan tahap sedar paling rendah,” katanya.

Sementara itu, semasa disoal peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang remaja didakwa terlibat dalam kes buli si mati, Dr Pavankumar berkata beliau telah mengadakan perbincangan keluarga kerana kes-kes seumpama itu lazimnya mempunyai prognosis dan keputusan yang sangat buruk.

Ram: Bolehkah saya katakan, ketika anda menerima Zara Qairina di wad neurosurgeri, anda telah sedar dia akan meninggal dunia? Dr Pavankumar: “Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, saya tahu kes-kes sebegini ada prognosis dan keputusan yang sangat buruk”.

Beliau turut menjelaskan keputusan untuk menjalankan bedah siasat adalah urusan antara Jabatan Perubatan Forensik dan pihak polis.

Ditanya Koroner Amir Shah Amir Hassan sama ada beliau yang mengisytiharkan kematian Zara Qairina pada 17 Julai, Dr Pavankumar menjawab: ‘Ya’.

Dr Pavankumar berkata remaja berkenaan dimasukkan ke wad neurosurgeri pada 6.40 petang, 16 Julai, namun dia tidak menunjukkan sebarang peningkatan klinikal dan meninggal dunia pada keesokan harinya, pada 1.07 tengah hari.

Pada akhir prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan Inspektor Siasatan Tempat Kejadian, Maidon Bernadus dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Beliau berkata pada 3 Ogos lepas, beliau bersama pasukannya menjalankan dua simulasi menggunakan patung iaitu pertama dijatuhkan secara tegak lurus dari koridor tanpa tolakan, manakala kedua dengan tolakan minimum ke hadapan.

Patung itu, katanya pada asalnya seberat 10 kilogram, namun ditambah pemberat menggunakan batu-bata hingga mencecah kira-kira 53 kilogram bagi menyerupai berat fizikal si mati.

Rakaman video simulasi dimainkan di mahkamah, dan saksi diarahkan membawa patung yang digunakan untuk ditunjukkan.

Prosiding siasatan bersambung esok.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.