ad

Sumbangan Yayasan MBI suntik semangat atlet, pacu sukan Selangor

9 Sep 2025, 8:55 AM
Sumbangan Yayasan MBI suntik semangat atlet, pacu sukan Selangor
Sumbangan Yayasan MBI suntik semangat atlet, pacu sukan Selangor

SHAH ALAM, 9 SEPT: Sumbangan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI disifatkan sebagai pemangkin semangat baharu buat atlet dan pasukan negeri untuk melakar kejayaan lebih besar di pentas sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata sokongan berterusan daripada MBI dan Majlis Sukan Negeri sejak awal penubuhan kelab amat bermakna dalam memperkukuh pembangunan sukan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Atlit Sukan Yayasan MBI di Ibu Pejabat MBI di Shah Alam pada 9 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kami amat bersyukur dengan sumbangan ini. Ia menjadi motivasi kepada pemain untuk terus memberi komitmen membawa nama Selangor di peringkat lebih tinggi.

“Pada masa sama, ia membantu pasukan menyusun perancangan kewangan lebih rapi supaya tumpuan penuh dapat diberikan terhadap prestasi di padang dan arena e-sukan,” katanya.

Terdahulu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyampaikan sumbangan RM413,000 daripada Yayasan MBI kepada lapan persatuan sukan dan beberapa atlet Selangor di Ibu Pejabat MBI di sini hari ini.

Antara penerima termasuk persatuan Selangor FC Futsal (RM200,000) dan Selangor Red Giant OG E-Sports (RM100,000) selain beberapa atlet muda yang turut menerima insentif khas.

Seorang daripadanya, atlet permotoran berusia 10 tahun, Muhammad Safiuddin Mohammad Shaharizan, meluahkan rasa terharu kerana bantuan itu meringankan persiapannya ke kejohanan akan datang.

Atlit sukan permotoran Muhammad Saifuddin Mohammad Shahrizan bercakap kepada media selepas Majlis Serahan Sumbangan Atlit Sukan Yayasan MBI di Ibu Pejabat MBI di Shah Alam pada 9 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Terima kasih Yayasan MBI bagi sumbangan. Ia sedikit sebanyak membantu saya membuat persiapan perlawanan seterusnya.

“Impian saya mahu pergi lebih jauh dalam sukan permotoran ini sehingga ke Valencia, Sepanyol,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu penuh semangat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.