SHAH ALAM, 9 SEPT: Cadangan menukar Intekma Resort and Convention Centre (IRCC) di Seksyen 7 sebagai asrama penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan zon, peraturan keselamatan serta sensitiviti setempat.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata bangunan lima tingkat milik UiTM sejak 1997 itu dikategorikan sebagai kawasan komersial dalam Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (Pindaan 3) 2020.
“Cadangan itu bercanggah dengan sijil kelayakan menduduki (CFO), tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran dan mengambil kira sensitiviti masyarakat sekitar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
Menurutnya, kajian Jawatankuasa Pelaburan UiTM pada April lalu turut mendapati cadangan tersebut tidak sesuai.
Dr Zambry berkata, UiTM kini sedang mencari penyewa untuk mengoperasikan Intekma secara komersial mengikut garis panduan pihak berkuasa tempatan.
“Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM juga diberi tanggungjawab menyediakan cadangan menjadikan Hotel UiTM dan Intekma sebagai hotel latihan,” jelasnya.
Untuk rekod, UiTM Holdings Sdn Bhd menamatkan operasi hospitaliti IRCC pada Januari 2019 selepas berdepan masalah kewangan.