SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menurunkan papan iklan gergasi (billboard) yang dipasang tanpa kebenaran di KM34.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam, semalam.
Menurut sekretariat medianya, operasi dijalankan bersama Tenaga Nasional Berhad yang memotong bekalan elektrik pad struktur papan iklan terbabit mengikut Seksyen 25 (aa)(ii), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
“Notis arahan penurunan paparan iklan kepada pemilik telah dikeluarkan pada 26 Ogos selepas mesyuarat berhubung perkara ini dibuat sehari sebelum dan dipengerusikan Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon.
“Majlis juga telah memanggil pemilik iklan pada 29 Ogos untuk membincangkan perkara ini dan diberi tempoh sehingga 5 September menurunkan iklan terbabit. Pemilik juga diminta mengemukakan cadangan tempat baharu,” menurut kenyataan.
Sekreteriat berkata MBPJ akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi ketetapan undang-undang dan garis panduan berkaitan paparan iklan luaran.
“MBPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat yang boleh menjejaskan imej bandar raya dan keselamatan awam. Tindakan penguatkuasaan ini bukti komitmen majlis dalam memastikan pembangunan bandar raya.
“Semua syarikat juga diwajibkan mematuhi ketetapan termasuk larangan pembinaan dalam radius 500 meter dari Pintu Gerbang Darul Ehsan seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Disember 2016,” katanya.
Jumaat lalu, Mohamad Zahri turun padang menyita papan iklan haram di Lebuhraya Persekutuan selepas sebuah syarikat automotif enggan mematuhi notis pematuhan meskipun diberi amaran sebanyak dua kali sebelum ini.
Operasi itu turut menyaksikan beliau memotong sendiri sebahagian kanvas iklan berkenaan sebagai simbolik ketegasan MBPJ membanteras aktiviti periklanan tidak berlesen.