ad

Wang tunai RM170 juta disita SPRM kini milik kerajaan

9 Sep 2025, 7:08 AM
Wang tunai RM170 juta disita SPRM kini milik kerajaan
Wang tunai RM170 juta disita SPRM kini milik kerajaan
Wang tunai RM170 juta disita SPRM kini milik kerajaan

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipercayai milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini secara rasmi menjadi hak kerajaan serta telah dimasukkan ke akaun kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu susulan keputusan responden iaitu Ismail Sabri yang tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.

“Ini bermakna secara rasmi wang ini kini hak milik kerajaan dan proses untuk memasukkannya ke dalam consolidated fund (dana yang disatukan) akan dimulakan pada hari ini. Mungkin dalam tempoh terdekat ia akan dikreditkan ke akaun kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin, dengan kedua-dua responden melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lalu kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian tersebut.

Sementara itu, Azam memaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya (TPR) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menuduh mana-mana pihak dalam kes berkenaan.

Katanya, langkah pertama SPRM dalam kes itu ialah melucut hak wang tunai yang dirampas daripada pihak terbabit.

“Saya tidak pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mendakwa beliau (Ismail Sabri) di mahkamah. Saya serahkan kepada TPR untuk menilai sama ada beliau akan didakwa atau tidak. Kita tunggu cadangan daripada TPRP,” katanya.

Mengulas mengenai jangka masa keputusan pendakwaan terhadap Ismail Sabri, Azam berkata TPR adalah entiti bebas dan SPRM tidak mempunyai kawalan atau kuasa membuat keputusan.

“Pihak kami sebagai pegawai eksekutif yang menjalankan penyiasatan tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap garis masa TPR untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Azam berkata TPR, sudah tentu mempunyai polisi tertentu yang ditetapkan Peguam Negara berhubung tempoh masa sesuatu kes untuk diputuskan, bergantung kepada keadaan kes berkenaan.

Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar, kepada kerajaan Malaysia.

Jumlah itu meliputi RM14,772,150; SG$6,132,350; US$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.

Rampasan dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.