SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri mengecam sekeras-kerasnya serangan dron terhadap salah sebuah kapal yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan Tunisia, pagi tadi.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amiruddin Shaari dalam satu kenyataan, menyifatkan tindakan itu sebagai bentuk provokasi dan intimidasi yang bertujuan menggagalkan misi kemanusiaan tersebut.
“Kerajaan Negeri berharap pihak berkuasa antarabangsa dapat memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada semua sukarelawan, aktivis dan kru yang terlibat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan doa agar seluruh peserta pelayaran itu diberikan perlindungan Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan sepanjang perjalanan.
“Perjalanan ini bukan mudah, ia simbol keberanian dan suara bersama menentang kezaliman. Selangor sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” ujarnya.
Terdahulu, kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF) yang dikenali sebagai “Family Boat” dilaporkan terkena serangan dipercayai dron di perairan Tunisia.
Seramai kira-kira 150 aktivis termasuk rakyat Malaysia, Tunisia, Turkiye serta peserta lain dari Eropah, Afrika dan Asia menyertai inisiatif itu.
Dalam pada itu, beberapa badan antarabangsa termasuk Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan pertubuhan hak asasi manusia menegaskan serangan berkenaan jelas melanggar undang-undang maritim antarabangsa serta mencabar usaha global menghantar bantuan kemanusiaan.
FFC sebelum ini menyatakan misi flotilla bukan sahaja membawa bantuan perubatan dan makanan, malah mesej solidariti masyarakat dunia terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan penindasan.
