ad

Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina

9 Sep 2025, 5:20 AM
Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina
Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina
Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina
Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina
Doktor: Tiada kesan lebam, dera pada tubuh Zara Qairina

KOTA KINABALU, 9 SEPT: Pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika menerima remaja itu untuk pemeriksaan pada 16 Julai lalu.

Dr Janefer Voo, 32, berkata pelajar tingkatan satu itu dibawa ke jabatan kecemasan oleh penolong pegawai perubatan bersama pasukan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun mekanisme kecederaan tidak diketahui pada ketika itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit. Hasil pemeriksaan juga menunjukkan pelajar itu disyaki mengalami kecederaan otak yang serius selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.

“Disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, remaja itu disyaki mengalami kecederaan dalaman “due to high impact” pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan,” kata saksi ketiga itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding inkues kematian remaja itu.

Beliau berkata amaran trauma diaktifkan pada 4.42 pagi bagi membolehkan rujukan segera dibuat kepada pasukan Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara prosedur resusitasi dilakukan terhadap mangsa.

Ketika disoal pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, mengenai ‘rate of survival’ mangsa ketika dibawa ke jabatan kecemasan, Dr Voo berkata beliau tidak pasti mengenai perkara berkenaan ketika itu namun, mengikut penilaian awal hanya tahu mangsa dalam keadaan sangat kritikal.

Dr Voo juga berkata hasil ujian darah pesakit mendapati, keputusan yang tidak normal seperti darah putih tinggi, garam potassium (kalium) dalam julat sederhana rendah dan ia boleh disebabkan tindakan fisiolgi badan yang stress (tertekan) disebabkan oleh trauma.

“Hasil dapatan X-ray mendapati, pesakit mengalami closed fracture (fraktur tertutup), hujung tulang radius tangan kri, closed fractured hujung tulang tibia dan buku lali kaki kanan. Open fracture (fraktur terbuka) di hujung tulang tibia, buku lali dan tumit kaki kiri. Tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4 juga patah,” kata beliau.

Tambah Dr Voo, selain beliau, beberapa petugas lain termasuk paramedik dan pegawai atasannya bernama Dr Rahim dan juga doktor lain daripada pasukan trauma terlibat dalam rawatan awal.

Ketika disoal peguam keluarga Zara Qairina, Rizwandean M Borhan, saksi itu berkata pihaknya tidak menghubungi pihak polis ketika pesakit dibawa ke jabatan kecemasan kerana mangsa berada dalam keadaan kritikal dan keutamaan diberikan untuk menstabilkan pesakit dahulu.

“Saya tidak nampak pegawai polis mahupun ibu mangsa di jabatan kecemasan pada hari kejadian,” kata beliau.

Prosiding siasatan di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bersambung selepas rehat tengah hari.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.

Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.