SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Selangor bercadang mewartakan Tugu Peringatan Pantai Morib sebagai tapak bersejarah bagi mengenang peristiwa bersejarah Operasi Zipper.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata pengorbanan perajurit British-India yang terlibat dalam operasi membebaskan Malaya daripada pendudukan Jepun amat bernilai dan wajib dikenang sepanjang zaman.
“Pendaratan tentera di Pantai Morib ini menjadi salah satu detik penting dalam sejarah negara kerana ia menandakan bermulanya era keamanan selepas Perang Dunia Kedua serta menjadi asas kepada pembinaan semula kestabilan di Tanah Melayu.
"Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai generasi pewaris untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menghargai jasa wira negara bersama keluarga mereka yang telah banyak berkorban,” maklumnya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Hari Memperingati Tugu Perang – Ulang Tahun ke-80 Pendaratan Pasukan British-India di Pantai Morib, Banting anjuran Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (Perim) Cawangan Selangor Baru.

Kata Papparaidu lagi, majlis bersejarah yang turut dihadiri Duta Besar India ke Malaysia, B N Reddy bertujuan memberi penghormatan kepada wira yang telah berkorban demi tanah air.
“Acara ini bukan sahaja mengenang peristiwa pendaratan pasukan tentera British-India di bawah Operasi Zipper pada 9 September 1945 di Pantai Morib, malah menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
“Operasi Zipper pada asalnya dirancang sebagai operasi besar-besaran yang melibatkan lebih 100,000 anggota tentera British-India untuk membebaskan Malaya daripada pendudukan Jepun,” ujarnya.