ad

Kapal Global Sumud Flotilla diserang dron di Tunisia, penumpang, kru selamat

9 Sep 2025, 2:24 AM
Kapal Global Sumud Flotilla diserang dron di Tunisia, penumpang, kru selamat
Kapal Global Sumud Flotilla diserang dron di Tunisia, penumpang, kru selamat

WASHINGTON, 9 SEPT: Sebuah kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF) yang dikenali sebagai “Family Boat” dilaporkan terkena serangan dipercayai dron di perairan Tunisia, kata penganjur lewat Isnin.

Anadolu Ajansi melaporkan bot yang belayar di bawah bendera Portugal itu membawa ahli Jawatankuasa Pemandu GSF termasuk aktivis Sweden Greta Thunberg dan Yasemin Acar, menurut kenyataan flotila di platform media sosial Instagram.

“Semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat.

“Siasatan sedang dijalankan dan apabila maklumat lanjut diperoleh, ia akan diumumkan segera.

“Tindakan agresif yang bertujuan menakutkan serta menggagalkan misi kami tidak akan melemahkan semangat kami.

“Misi aman untuk memecahkan kepungan Gaza dan berdiri teguh bersama rakyatnya akan diteruskan dengan tekad,” menurut kenyataan itu.

“Sebuah dron berada betul-betul di atasnya, melepaskan bom yang kemudian meletup, menyebabkan bot terbakar,” kata Acar, anggota jawatankuasa pemandu itu dalam satu mesej video di Instagram.

Global Sumud Flotilla, dinamakan sempena perkataan Arab “sumud” yang bermaksud “ketabahan,” terdiri daripada kira-kira 20 kapal yang membawa penumpang dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.

Seramai kira-kira 150 aktivis termasuk rakyat Malaysia, Tunisia, Turkiye serta peserta lain dari Eropah, Afrika dan Asia menyertai inisiatif itu.

Flotila itu berlayar dari Barcelona pada akhir Ogos bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali dan dijangka berlepas dari Tunisia menuju Gaza esok.

Inisiatif itu bertujuan mencabar sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan pada 22 Ogos bahawa kebuluran telah melanda utara Gaza dan memberi amaran ia boleh merebak selagi sekatan Israel berterusan.

Perang genosid Israel di Gaza memasuki hari ke-700 pada Jumaat lalu, dengan lebih 64,500 penduduk Palestin terkorban.

Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.