KUANTAN, 9 SEPT: Lelaki warga Bangladesh maut dipercayai akibat dipanah petir berhampiran sebuah tapak projek di Kuala Atok, Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan pada 7.30 malam dan mangsa dikenali sebagai Md Shahangir, 37.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang beralamat di Kuala Lumpur datang menziarahi adiknya yang bekerja di tapak projek terbabit dan tinggal di rumah kongsi di situ.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa keluar mencari adiknya di kawasan berhampiran tapak projek dan pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan koyakan pada kaki seluar mangsa di sebelah kiri disyaki akibat panahan petir,” katanya dalam kenyataan.
Lelaki itu dibawa ke sebuah klinik kesihatan di Kuala Lipis sebelum pegawai perubatan mengesahkan kematiannya dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raub pagi ini.
- BERNAMA