ad

Gempa bumi: 15 bangunan kerajaan, 62 laporan rumah, surau rosak diterima

7 Sep 2025, 5:32 PM
Gempa bumi: 15 bangunan kerajaan, 62 laporan rumah, surau rosak diterima
Gempa bumi: 15 bangunan kerajaan, 62 laporan rumah, surau rosak diterima

SEGAMAT, 8 SEPT: Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000, susulan gempa bumi lemah yang melanda daerah itu bermula 24 hingga 30 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata laporan itu hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 September lalu ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah dan kuarters kerajaan.

“Kebanyakannya adalah keretakan sedia ada yang mengalami pertambahan kuantiti retak susulan gegaran gempa, kerosakan berimpak kecil dan tidak menjejaskan integriti struktur bangunan.

“Bangunan ini juga masih selamat digunakan dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna dan pengguna bangunan juga diingatkan sentiasa memantau keadaan sekeliling dan melaporkan kepada JKR sekiranya ada penemuan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat berkaitan bencana itu dan melawat bangunan kerajaan yang mengalami kerosakan susulan gempa tersebut.

Ahmad berkata kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan peruntukan kementerian terlibat dan JKR memberikan sokongan teknikal bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

“Bilik Gerakan Bencana JKR juga telah diaktifkan serta-merta bagi memantau situasi 24 jam sehari semenjak gempa pertama dilaporkan pada 24 Ogos lepas.

“JKR Segamat ketika ini sedang memperincikan laporan serta cadangan kerja pembaikan di samping meneruskan pemantauan rapi terhadap aset jalan dan jambatan,” katanya.

Selain bangunan, pemeriksaan mendapati tiada kerosakan dilaporkan pada aset jalan dan jambatan hasil pemantauan terhadap 325 kilometer jalan persekutuan, 242.11 kilometer jalan negeri serta 71 jambatan dan jejantas dalam radius gempa bumi," katanya.

Ahmad berkata faktor seismik telah diambil kira dalam reka bentuk bangunan kerajaan dan jambatan sejak penguatkuasaan MS EN 1998 National Annex pada September 2017.

“Bangunan dan jambatan baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dibina menggunakan bahan berkualiti tinggi serta direka bentuk mengikut tahap kegempaan di lokasi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pejabat Daerah Segamat juga menerima 62 laporan kerosakan kecil pada kediaman persendirian dan dua surau susulan gegaran lemah berkenaan namun anggaran kerugian masih belum diperincikan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.