ad

Projek Ekonomi MADANI warga ATM dijangka jana hasil RM604,000 dalam 30 bulan

8 Sep 2025, 7:48 AM
Projek Ekonomi MADANI warga ATM dijangka jana hasil RM604,000 dalam 30 bulan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Projek Ekonomi MADANI yang diperkenalkan khusus untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka mampu menghasilkan tanaman mencecah sembilan tan setahun dengan nilai pendapatan sehingga RM604,000 dalam tempoh 30 bulan akan datang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek itu yang membabitkan keluarga anggota ATM di 90 kem seluruh negara akan dilaksanakan secara berfasa.

“Pada peringkat awal, projek ini dijalankan secara percubaan untuk melihat sama ada isteri anggota (Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) berminat dan ternyata permintaannya tinggi serta kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi projek madu kelulut, Boustead Plantations Berhad akan menanggung separuh daripada kos pembinaan rumah kelulut manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan.

“Projek ini dimulakan dengan 22 kem dan akan diperluaskan secara berfasa sehingga melibatkan 90 kem dalam tempoh dua tahun setengah,” katanya.

Mohamed Khaled berkata hasil tuaian projek itu akan dibeli oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Plantations, untuk diproses kepada produk bernilai tambah yang memberi pulangan kepada warga ATM.

Selain madu kelulut, projek tanaman herba juga diperkenalkan melibatkan tanaman seperti pandan, serai dan ulam raja.

“Apabila keseluruhan ekosistem sudah tersedia, barulah sesuai untuk dilaksanakan di kem lain,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kem Mahkota Kluang merupakan antara lokasi terawal yang mula mengeluarkan hasil dan memberi pendapatan sederhana kepada kira-kira 20 keluarga yang terlibat.

Berpotensi menjadi lebih lumayan pada masa depan, beliau berharap inisiatif itu dapat membuka peluang kepada warga ATM untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi yang dirangka kerajaan supaya kem tentera tidak tercicir daripada menerima manfaatnya.

“Program ini juga merupakan satu usaha ke arah menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.