GAZA, 8 SEPT: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa risiko kebuluran di Bandar Gaza semakin meningkat dan dijangka merebak ke bahagian tengah wilayah itu dalam beberapa minggu akan datang sekiranya tiada tindakan segera diambil, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Badan itu menegaskan situasi di Gaza kini menjadi “malapetaka” apabila keluarga semakin tidak berupaya menyediakan makanan untuk anak-anak mereka.
Jurucakap UNICEF, Tess Ingram berkata ancaman kebuluran di Bandar Gaza adalah nyata, khususnya di kawasan timur dan utara, ketika penduduk terus hidup dalam keadaan terdedah kepada ancaman pengeboman Israel yang semakin intensif.
Menurutnya, ramai penduduk Bandar Gaza mempertimbangkan untuk berpindah ke selatan walaupun sedar keadaan di sana tidak jauh berbeza — dengan kekurangan bekalan makanan dan air bersih yang kritikal selain pengeboman berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa “tiada tempat selamat di Gaza.”
Beliau juga berkata bahawa petugas kesihatan, kakitangan kemanusiaan dan wartawan telah memberi amaran mengenai kebuluran di Gaza sejak beberapa bulan lalu, namun tiada yang berubah.
Ingram juga menyatakan bahawa klinik yang disokong UNICEF kini sesak dengan keluarga yang menunggu anak-anak mereka diperiksa akibat masalah kekurangan zat makanan yang meluas.
Terdahulu pada Ahad, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melaporkan jumlah kematian akibat tindakan Israel menyekat makanan secara sistematik meningkat kepada 387 orang, termasuk 138 kanak-kanak.