ad

Hamas sambut baik cadangan gencatan senjata terbaharu AS

8 Sep 2025, 1:16 AM
Hamas sambut baik cadangan gencatan senjata terbaharu AS

ISTANBUL, 8 SEPT: Kumpulan Palestin, Hamas pada Ahad memaklumkan telah menerima cadangan baharu gencatan senjata daripada Amerika Syarikat (AS) menerusi pengantara, dan menyatakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami menerima beberapa idea daripada pihak Amerika melalui pengantara untuk mencapai perjanjian gencatan senjata,” menurut Hamas dalam satu kenyataan di Telegram.

Hamas menyambut baik sebarang usaha yang menyokong “ikhtiar menghentikan pencerobohan terhadap rakyat.”

Kumpulan itu menegaskan kesediaan untuk “segera duduk di meja rundingan bagi membincangkan pembebasan semua tahanan dengan pertukaran pengisytiharan yang jelas mengenai penamatan perang dan pengunduran sepenuhnya (tentera Israel) dari Semenanjung Gaza.”

Hamas turut bersetuju dengan penubuhan sebuah jawatankuasa Palestin bebas untuk menguruskan pentadbiran di Gaza, serta menuntut jaminan Israel agar mematuhi segala persetujuan yang dicapai bagi “mengelakkan peristiwa lalu berulang apabila perjanjian dimeterai tetapi kemudian ditolak atau dibatalkan.”

Menurut Hamas, pada 18 Ogos lalu pihaknya menerima cadangan pengantara Mesir dan Qatar berdasarkan cadangan Utusan Khas AS, Steve Witkoff namun “rejim pendudukan (Israel) sehingga kini tidak memberi respons, sebaliknya meneruskan pembunuhan beramai-ramai dan kempen pembersihan etnik.”

“Oleh itu, pergerakan Hamas terus berhubung rapat dengan pengantara untuk mengembangkan idea-idea ini menjadi satu perjanjian menyeluruh yang memenuhi tuntutan rakyat kami,” menurut kenyataan itu lagi.

Hamas sebelum ini berulang kali menegaskan kesediaannya memeterai perjanjian komprehensif dengan Israel bagi membebaskan semua tawanan Israel dengan pertukaran tahanan Palestin, menamatkan perang di Gaza serta memastikan pengunduran penuh tentera Israel.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh hampir 64,400 rakyat Palestin dalam serangan kejam di Gaza.

Serangan ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.