SHAH ALAM, 8 SEPT: Persatuan Hak Bapa Malaysia menyokong penuh rancangan Selangor untuk melanjutkan cuti paterniti dengan menekankan tempoh tujuh hari yang diperuntukkan ketika ini hanya cukup untuk urusan pentadbiran.
Presidennya Malcolm Fernandez berkata tempoh hanya tujuh hari itu sekali gus membebankan ibu untuk menggalas hampir keseluruhan penjagaan bayi pada minggu-minggu awal yang dianggap kritikal.
Menurutnya, cuti sedia ada dianggap sebagai tidak mencukupi bagi membolehkan bapa memainkan peranan aktif dalam hari-hari awal yang penting buat anak mereka.
“Melanjutkannya melebihi tujuh hari bukan sahaja soal keadilan, tetapi tentang mengiktiraf peranan bapa dalam menyokong kedua-dua ibu dan bayi yang baru lahir.
“Keibubapaan bukan tanggungjawab seorang individu sahaja. Perubahan dasar seperti ini (cadangan oleh Selangor) menunjukkan bahawa bapa adalah elemen penting dalam nukleus keluarga dan memberi isyarat bahawa mereka juga penting,” katanya kepada Media Selangor.
Pada 21 Ogos lalu, EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata Selangor sedang meneliti untuk melanjutkan cuti paterniti melebihi tujuh hari sedia ada.
Beliau berkata langkah itu bertujuan menggalakkan bapa memainkan peranan lebih besar dalam penjagaan bayi baru lahir serta memupuk tanggungjawab bersama dalam kalangan ibu bapa.
Cadangan itu digariskan di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.
Fernandez berkata cuti lebih panjang memberi peluang kepada bapa untuk menjalinkan ikatan dengan bayi, memberi sokongan penting kepada ibu yang sedang dalam fasa pemulihan serta membantu mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin.
“Tidak dapat dinafikan minggu-minggu pertama adalah kritikal. Ikatan bukan saja antara ibu dan anak, bapa juga memerlukan masa tanpa gangguan untuk berhubung dengan bayi mereka. Ini membina kesejahteraan emosi untuk anak dan keyakinan untuk bapa.
“Kita juga perlu faham bahawa ibu perlu melalui pemulihan fizikal dan penyesuaian emosi selepas bersalin,” katanya.
Tambah Fernandez, cuti paterniti lebih panjang juga boleh membantu membina keluarga yang lebih sihat dan hubungan lebih kukuh kerana tempoh tujuh hari sedia ada, sering kali hanya cukup untuk menguruskan dokumentasi hospital dan pendaftaran bayi.
Akibatnya, ramai bapa terpaksa kembali bekerja ketika ibu masih dalam proses pemulihan, menyebabkan mereka terpaksa menanggung tanggungjawab bersendirian.
“Ramai bapa rasa terhimpit antara tuntutan kerja dan tanggungjawab di rumah. Sistem sedia ada tanpa sengaja mengetepikan bapa pada tempoh kritikal, sekali gus mengukuhkan idea lapuk bahawa penjagaan adalah semata-mata peranan ibu,” katanya.
Fernandez berkata dasar mesra keluarga bukan saja meningkatkan reputasi majikan serta menarik bakat, malah turut mengukuhkan tenaga kerja kerana keluarga sihat dan stabil melahirkan pekerja yang lebih fokus.
Memetik dapatan Pusat Penyelidikan Pew, katanya, lebih separuh daripada bapa tidak berpuas hati dengan masa terhad yang mereka habiskan bersama keluarga.
Manakala, menurutnya firma penyelidikan dan perundingan McKinsey melaporkan, semua lelaki yang mengambil cuti paterniti menghargai pengalaman itu dan 90 peratus daripadanya bersetuju ia memperbaiki hubungan mereka dengan pasangan.
“Sudah tiba masanya kita mengubah naratif dan melihat cuti paterniti sebagai satu pelaburan dan bukannya kerugian. Produktiviti jangka pendek mungkin menurun tetapi keuntungan jangka panjang jauh lebih besar.
“Pekerja yang rasa disokong sebagai bapa adalah lebih setia, kurang tertekan dan akhirnya lebih produktif. Di negara-negara dengan cuti paterniti yang lebih panjang, syarikat melaporkan kadar pengekalan pekerja dan motivasi kerja lebih tinggi,” katanya.