ad

Lelaki maut tertimbus ketika korek tanah

7 Sep 2025, 2:45 PM
Lelaki maut tertimbus ketika korek tanah

IPOH, 7 SEPT: Seorang lelaki maut tertimbus semasa menjalankan kerja-kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di kawasan pengumpulan pasir sungai di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di Seri Iskandar hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata dalam kejadian 5 petang itu, tiga lagi mangsa kesemuanya lelaki tempatan berjaya diselamatkan.

Beliau berkata sejurus tiba di lokasi kejadian, sepasukan anggota bomba mendapati tiga mangsa tersekat di dalam pam pasir manakala seorang lagi mangsa tertimbus sepenuhnya.

"Menurut saksi, dua pekerja terlihat tanah di sekeliling tempat korekan mulai rebak dan jatuh ke dalam longkang yang dikorek.

"Mereka juga cuba membantu mengeluarkan mangsa. Longkang yang dikorek dianggar sedalam tiga meter," katanya dalam kenyataan malam ini.

Shazlean berkata ketiga-tiga mangsa yang tertimbus pada paras dada berusia antara 28 hingga 38 tahun dan mengalami kecederaan berjaya dikeluarkan kira-kira 6.30 petang manakala mangsa yang tertimbus sepenuhnya berusia 26 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat berjaya dikeluarkan pada 7.59 malam dan dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.