SHAH ALAM, 7 SEPT: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 12.18 tengah malam tadi, yang dibuat ketua keselamatan parti berkenaan.
Jelas Mohd Iqbal, menurut laporan, pengadu yang sedang bertugas ketika ucapan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat dua lelaki yang juga merupakan ahli parti berkenaan bangun dan menjerit menggangu ucapan pemimpin itu.
“Pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya, namun pengadu telah ditarik dari belakang sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan.
“Kejadian yang berlaku berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli parti yang lain dengan membawa keluar kedua-dua lelaki itu dari dewan dan perhimpunan berjalan seperti biasa.
“Pengadu atau mana-mana pihak tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tiada kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat dibawah seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh enam bulan atau denda hingga RM1,000.
Kes turut disiasat dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi seratus ringgit.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Bin Ahmad di talian 016-7252948,” katanya.