ad

Kanak-kanak 6 tahun diserang anjing liar di Cheras kini stabil

7 Sep 2025, 1:06 PM
Kanak-kanak 6 tahun diserang anjing liar di Cheras kini stabil

SHAH ALAM, 7 SEPT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera akibat diserang anjing di Batu 9, Cheras pada Rabu lalu dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata mangsa bakal menjalani pembedahan lagi bagi menjahit luka pada bahagian kepala, lapor Sinar Harian.

“Doktor turut memberikan suntikan nyah rabies sebagai langkah berjaga-jaga. Bagi risiko jangkitan pula, ia hanya dapat dipastikan selepas keputusan analisis diperoleh,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan anjing yang menyerang dan menggigit seorang kanak-kanak itu disahkan sebagai anjing liar hasil semakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Pihak berkuasa tempatan itu turut mengeluarkan surat pemakluman untuk diserahkan kepada Jabatan Veterinar bagi tindakan lanjut.

Nazron berkata, mangsa yang pada awalnya dirawat di Hospital Kajang telah dipindahkan ke Hospital Putrajaya dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak bagi rawatan susulan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mangsa cedera selepas diserang ketika bermain basikal berhampiran rumahnya. Kejadian yang tular di media sosial itu memaparkan kanak-kanak berkenaan bergelut beberapa ketika dengan anjing terbabit sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.