ad

Pelajar jatuh asrama Sabak Bernam: Polis tunggu arahan pendakwaan

7 Sep 2025, 9:25 AM
Pelajar jatuh asrama Sabak Bernam: Polis tunggu arahan pendakwaan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kertas siasatan berhubung kes pelajar tingkatan tiga jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam sudah dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata polis sudah melengkapkan siasatan dan pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pihak berkenaan.

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada pengarah pendakwaan negeri bagi tujuan penelitian serta nasihat lanjut," katanya tanpa mengulas lanjut dapatan siasatan pihaknya, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Shazeli memberitahu, polis sudah merakam keterangan lebih 12 individu termasuk pelajar, guru dan warden asrama selain memperoleh beberapa petunjuk penting bagi membantu merungkai punca sebenar kejadian.

Menurut beliau, siasatan turut menjurus di tempat kejadian dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar asrama.

Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar lelaki dilapor parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.

Mangsa, 15, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) dan keadaannya dilaporkan semakin stabil dan menunjukkan tindak balas positif.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.