ad

Media Selangor angkat gaya hidup sihat, luaskan jenama menerusi AEHM’25

7 Sep 2025, 10:00 AM
Media Selangor angkat gaya hidup sihat, luaskan jenama menerusi AEHM’25

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penganjuran Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS) Ekiden Half Marathon 2025 (AEHM’25) bukan sahaja menyerlahkan semangat kesukanan, malah membuka ruang promosi gaya hidup sihat serta memperkenalkan budaya Jepun kepada peserta.

Pengarang Kanan Media Selangor Sdn. Bhd. (MSSB) Khairulnizam Bakeri berkata, acara itu memberi pengalaman menyeronokkan sekali gus wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Sebagai penaja rasmi, penyertaan ini berjaya mendekatkan jenama Media Selangor dengan masyarakat. Ia bukan sekadar larian, tetapi platform yang memperkasa gaya hidup sihat serta memupuk kefahaman budaya Jepun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Perkhidmatan Korporat Media Selangor Mohd Zulkifli Ismail pula menyifatkan penganjuran marathon ini sangat positif kerana menarik ribuan pelari dari dalam dan luar negara.

“Media Selangor sendiri menghantar tiga pasukan hebat bagi mewarnai cabaran marathon kali ini. Inisiatif ini juga selari dengan usaha kami menggalakkan warga kerja mengamalkan gaya hidup sihat.

“Malah, pihak pengurusan turut memberi kelonggaran kepada kakitangan untuk beriadah dua kali seminggu bagi membudayakan aktiviti kecergasan,” jelasnya.

Bagi Penolong Editor Media Selangor Anna Farina Abdul Rauf, penyertaan dalam acara tersebut adalah cabaran yang disahut dengan penuh kebanggaan.

“Dapat mewakili Media Selangor dalam marathon ini merupakan satu pengalaman manis. Saya dan pasukan berasa bangga serta gembira kerana berjaya menamatkan larian, sekali gus mengetengahkan nama Media Selangor di pentas yang lebih luas.

“Harapan saya, lebih banyak program sukan seumpama ini disertai agensi dan syarikat bagi menggalakkan penyertaan kakitangan pada masa akan datang,” katanya.

AEHM’25 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pagi tadi menghimpunkan 1,200 peserta termasuk pelari antarabangsa dari Jepun.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan serta dihadiri Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar selaku penaung AEHM’25 serta Timbalan Ketua Misi (Deputy Chief of Mission) Kedutaan Jepun di Malaysia Nihei Daisuke.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.