ad

Lebih 70,000 sertai Run For Peace, MB puji usaha promosi keamanan

7 Sep 2025, 4:08 AM
Lebih 70,000 sertai Run For Peace, MB puji usaha promosi keamanan
Lebih 70,000 sertai Run For Peace, MB puji usaha promosi keamanan
Lebih 70,000 sertai Run For Peace, MB puji usaha promosi keamanan
Lebih 70,000 sertai Run For Peace, MB puji usaha promosi keamanan

KLANG, 7 SEPT: Semangat perpaduan dan keamanan jelas terserlah apabila lebih 70,000 peserta pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara menyertai Run For Peace anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia sempena ulang tahun ke-20 persatuan itu, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran larian tersebut membuktikan kesungguhan persatuan berkenaan dalam memupuk budaya damai melalui aktiviti sihat dan inklusif.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena larian Run For Peace di Padang Awam Taman Klang Jaya, Klang pada 7 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Soka Gakkai Malaysia yang sentiasa komited menganjurkan larian ini dan menyampaikan mesej keamanan, suatu nilai yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat serta pembangunan negeri kita.

“Kita sedang menyaksikan dunia yang semakin mencabar walaupun kita sering menyebut soal globalisasi dan semangat kemanusiaan sejagat, namun sejak kebelakangan ini, semakin banyak kecenderungan untuk membezakan antara satu sama lain.

“Sebab itu, larian seperti ini amat besar maknanya. Ia hadir tepat pada waktunya sebagai peringatan bahawa keamanan dan kestabilan adalah keperluan asas bagi manusia, bukan sahaja hari ini tetapi untuk masa depan,” katanya ketika merasmikan acara berkenaan di Padang Awam Taman Klang Jaya, di sini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian acara larian Run For Peace anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di Padang Awam Taman Klang Jaya, Klang pada 7 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin turut menegaskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.

“Kita perlu ada tanggungjawab lebih besar untuk SDGs tetapi kalau kita berperang, menimbulkan permusuhan, mengapi-apikan perbezaan antara kaum, kita tidak akan mampu menangani isu berkaitan SDGs,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama ribuan peserta acara larian Run For Peace anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di Padang Awam Taman Klang Jaya, Klang pada 7 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.