SABAK BERNAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menaik taraf infrastruktur pertanian khususnya sistem saliran, palong dan bekalan air yang uzur di kawasan sawah padi.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata usaha itu turut melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan termasuk permohonan tanah tambahan serta pembinaan kolam takungan baharu.

“Projek ini memerlukan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi meningkatkan hasil padi untuk merealisasikan usaha penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di Selangor.
“Jika diluluskan sepenuhnya, kita boleh memperkemaskan pengurusan benih, rawatan tanah dan pembajaan yang merupakan langkah penting ke arah peningkatan hasil,” katanya.
Ditemui selepas Majlis Penutup Karnival Bendang Selangor di Semarak Padi Homestay, di sini malam tadi, Izham menegaskan kerjasama pesawah mengamalkan kaedah penanaman tepat amat penting bagi meningkatkan hasil padi berkualiti.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri optimis langkah itu bakal memberi impak positif terhadap pembangunan sektor padi sekali gus memperkukuh jaminan makanan di Selangor.
Pada 23 Mei lalu, Izham memaklumkan negeri ini memerlukan peruntukan RM1 bilion bagi menjayakan sasaran penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun termasuk menaik taraf sistem saliran, membina kolam takungan tambahan dan menangani isu tanah jerlus.
