Oleh Aliaa Alina
Arnold, seorang lelaki India ditahan sewaktu operasi sekatan jalan raya di malam kemerdekaan.
Mengapa kereta Perdana lama miliknya digeledah dalam sekatan jalan raya? Mungkin Arnold ditahan kerana penampilan yang tipikal lelaki India yang selekeh, bersendirian dan berkulit hitam legam, sama hitam seperti kegelapan malam.
Dalam hati, polis-polis itu bimbang juga andai dituduh melakukan racial profiling terhadap Arnold. Namun mereka terus menarik nafas lega apabila menemui tulang manusia berselerakan di dalam bonet kereta Arnold.
***
Polis bermisai baru hendak menamatkan syif kerja sebelum ditugaskan untuk menyoal-siasat Arnold di dalam bilik tahanan. Sebelum sampai ke balai, dia terserempak dengan seorang lelaki Bangladesh yang sedang menunggang motosikal.
Bangla mana boleh ada lesen, ujarnya lantas si Bangladesh itu segera ditahan.
Malam itu, polis bermisai menerima tumbuk rusuk, iaitu beberapa keping not lima puluh daripada si Bangladesh yang ketakutan.
Polis bermisai membaca laporan latar belakang Arnold yang pernah bekerja sebagai seorang peguam. Lelaki India itu pernah memiliki sebuah firma guaman di Damansara beberapa tahun lepas. Tersisip beberapa keping gambar lama Arnold yang segak dan kemas. Seorang lelaki berbangsa India yang terpelajar, lepasan perundangan dari Universiti Malaya.
Diperhatikan diri Arnold yang kusut masai, berbaju kumal, rambut serabai tidak bersikat. Apa yang telah terjadi kepada Arnold sehingga dia berubah diri seperti gelandangan?
Dia berpeluk tubuh. Bilik itu sejuk beku seperti dalam bilik mayat.
“Kenapa ada tulang manusia di dalam kereta kamu?” soalnya mendatar. Tulang-temulang itu sudah dihantar ke bahagian forensik.
Arnold menggeleng, “Itu bukan tulang, Tuan. Itu adalah dosa-dosa yang telah saya lakukan.”
Polis bermisai menggeleng lantas melihat jam. Dia sepatutnya balik sahaja ke rumah daripada bercakap dengan orang gila. Lagipun syifnya sudah tamat lima belas minit lepas.
Dia ingin bangun namun segera ditahan Arnold. Mukanya berkerut apabila tangan itu berani mencengkam lengannya.
“Tuan juga mempunyai tulang terselit di dalam poket. Saya gusar, itu adalah sebahagian dosa yang telah tuan lakukan sebelum ini,” bisiknya, mata itu tertumpu ke arah poket yang berisi duit rasuah si Bangladesh.
Polis bermisai itu berdehem. Tangannya menyentuh perlahan di luar poket, dirasakan ada benjolan sesuatu yang keras.
Ada keraguan di dalam hati namun dia memilih untuk duduk kembali. Mata mereka saling bertentangan dalam kesunyian. Mata bundar lelaki India itu merenungnya dalam. Timbul rasa ketidakselesaan di hatinya.
“Kenapa kamu berhenti kerja sebagai peguam?”
“Tuan pernah dengar perbicaraan kes Shalini?” tanya Arnold kepadanya. Suaranya gugup menyebut nama budak perempuan malang itu.
Polis bermisai itu mengangguk. Kes itu berprofil tinggi kerana melibatkan suspek, yang merupakan anak seorang Tan Sri serta perbicaraan kes yang dikatakan berat sebelah.
“Saya telah terkena sumpahan Shalini, Tuan,” ujarnya perlahan menunduk kepala.
Ceritanya, Arnold telah dihubungi keluarga Orang Kena Tuduh (OKT) yang terlibat dalam pembunuhan Shalini. Keluarga OKT merupakan pemilik empayar perniagaan bahan binaan dan besi di negara.
Pertuduhan: OKT dituduh merogol, meliwat dan mencekik sehingga mati seorang kanak-kanak berumur lapan tahun, Shalini yang diculik ketika berjalan kaki pulang dari sekolah menuju ke rumah.
“Saya berjaya menimbulkan keraguan di dalam kes itu. Tapi saya tahu OKT bersalah, dia sendiri mengaku pada pertemuan pertama kami. Tapi, saya tidak hiraukan semua itu. Kerana saya dibayar untuk kebebasan dia.”
Selepas perbicaraan itu, Arnold mendakwa timbunan tulang manusia mulai muncul di dalam pejabat guaman. Walaupun sudah dibersihkan berkali-kali, tulang-tulang itu akan muncul kembali. Paling teruk sekali, setiap klien yang datang ke firma guaman dilihatnya mendukung rangka manusia di belakang badan.
“Pemandangan itu sungguh mengerikan, dirasakan saya sudah hilang kewarasan,” ujarnya menggeleng kepala ketakutan.
Polis bermisai itu diam. Hatinya semakin ingin menyeluk poket.
“Selepas itu, saya sedar tulang-tulang yang dilihat itu sebenarnya dosa manusia. Selama ini, dosa-dosa klien disembunyikan daripada pandangan saya. Kenapa sekarang ini, tuhan sengaja tunjukkan dosa-dosa yang hina itu?!” Soalnya dengan nada meninggi lantas dia menghentak meja, marah.
Polis bermisai itu sedikit tersentak, tetapi dia tetap tenang di tempat duduk.
“Tuan, mengapa tuhan hukum saya untuk melihat dosa-dosa itu?” suaranya berubah sayu lantas dia menyembamkan muka ke meja.
Polis bermisai itu terus menyeluk poket seluarnya. Arnold, si India tidak berbohong. Memang betul, ada seketul tulang femur di dalam balutan duit rasuah si Bangladesh.
***
Arnold ghaib di dalam sel tahanan pada malam itu juga. Keretanya yang berisi tulang manusia masih tersidai di parkir balai polis.
Beberapa hari selepas itu, polis bermisai menerima panggilan kes seorang pelajar perempuan ditemui mati kerana terjatuh dari bangunan sekolah. Pita kuning polis telah dipasang di sekitar kawasan kejadian.
Polis bermisai mulai kegelisahan apabila melihat bayangan tulang-tulang berselerakan di sekeliling mayat budak perempuan yang malang itu. Kain sekolahnya tersingkap hingga ke paha, betisnya lebam.
Tubuhnya menggigil sepanjang dia berjalan menuju ke bilik pengetua sekolah. Mana tidaknya, seperti Arnold, matanya mulai melihat tulang manusia bertaburan di sepanjang koridor.
Pengetua sekolah, seorang perempuan berusia yang gempal dan bertudung labuh. Wajahnya tampak keibuan, namun mata itu dingin dan suram.
Ini kemalangan yang sangat mendukacitakan, ujar si pengetua sekolah.
Di tengah pejabat pengetua, ada setimbun tulang manusia. Dirasakan timbunan itu semakin membukit hingga mencecah siling bilik.
Polis bermisai semakin tidak senang duduk.
Saya rasa kita tidak perlu membesar-besarkan isu ini, bisik si Pengetua kepadanya.
Pelajar terjatuh kerana kecuaian diri. Pelajar terjatuh kerana lalai dan tidak berhati-hati.
Semua salah pelajar, semua salah pelajar, jika kata hati si Pengetua boleh berbicara, itulah kata-kata yang akan dilontarkan.
Polis bermisai menerima panggilan daripada pakar forensik lantas dia segera meminta diri untuk beredar ke luar.
“Tuan, tulang yang ditemui di dalam bonet kereta adalah milik Arnold sendiri,” lapor pakar forensik itu.
Polis bermisai berasa seram sejuk lalu dia duduk tersandar untuk menenangkan dirinya. Wajah Arnold terus terbayang di dalam minda yang kabut.
Tuan, panggil Arnold sebelum dia melangkah keluar dari bilik siasatan.
“Saya tahu mengapa tuhan sengaja tunjukkan dosa-dosa manusia di mata ini.” Mata lelaki India itu berair, air mata berlinangan di pipi. Bibirnya bergetar menahan tangis.
Ketika itu, polis bermisai masih memikirkan tentang syif kerjanya yang sudah lama tamat.
“Selepas Shalini, tuhan sudah tidak benarkan saya untuk terus memejam mata kepada segala kejahatan dan ketidakadilan yang berlaku di dunia ini.”