ad

Pelancongan Keagamaan di Selangor naik 142 peratus pada suku kedua 2025

7 Sep 2025, 4:01 AM
Pelancongan Keagamaan di Selangor naik 142 peratus pada suku kedua 2025
Pelancongan Keagamaan di Selangor naik 142 peratus pada suku kedua 2025

SHAH ALAM, 7 SEPT: Segmen pelancongan keagamaan mencatat peningkatan tertinggi dalam prestasi produk pelancongan Negeri Selangor bagi suku kedua 2025 dengan lonjakan pertumbuhan 142 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut laporan Prestasi Kedatangan Pengunjung ke Produk Pelancongan Tumpuan Suku Kedua 2025 dikeluarkan Tourism Selangor, peningkatan mendadak itu menunjukkan kecenderungan pengunjung terhadap destinasi yang menawarkan pengalaman berteraskan nilai spiritual dan warisan agama.

Antara produk keagamaan yang mencatat kunjungan tinggi ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Istana Alam Shah dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Klang.

Bagi pengunjung antarabangsa, pelancongan keagamaan menjadi satu-satunya segmen yang mencatatkan pertumbuhan positif, meningkat 48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tourism Selangor memaklumkan, walaupun segmen taman tema dan lain-lain mencatat penurunan, minat terhadap lokasi bersejarah dan berkaitan keagamaan semakin berkembang dalam kalangan pelancong.

Secara keseluruhan, seramai 3.23 juta pengunjung direkodkan mengunjungi 50 produk pelancongan tumpuan di seluruh negeri sepanjang April hingga Jun tahun ini, meningkat 40 peratus berbanding suku kedua 2024.

Daripada jumlah itu, 2.72 juta ialah pelawat domestik manakala 512,708 adalah pelawat antarabangsa.

Promosi berterusan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 seperti "Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!" turut membantu memperkenal kepelbagaian segmen pelancongan termasuk berunsur spiritual.

Tourism Selangor juga optimis negeri mampu menjadi peneraju destinasi pelancongan bersepadu yang merangkumi budaya, warisan dan spiritual di peringkat nasional serta rantau Asia Tenggara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.