Ada yang percaya golongan bersara sudah tinggal nilai sisa
ditolak peluang kerja dan anak-anak kerap kesuntukan masa
terpinggir atau terpulau dan terpaksa belajar mengawal rasa
tapi mereka ketara tenaga perlu Jepun dan Eropah Utara
di situ rendah kadar lahir bayi dan rata-rata orang tua
selepas habis baca laporan itu aku bergegas ke kebun
hari itu agak banyak tempahan kacang botol
sebagai sayur goreng atau dijadikan ulam segar
kacang matang dan kacang muda dipilih
ada kacang sengaja ditinggalkan sebagai kacang benih
dibiarkan berlindung di sebalik daun dan ranting
disimbah hujan, menghirup embun dan cahaya matahari
saat-saat itu aku tiba-tiba diserang keliru
sebagai pemakan atau makanan, mangsa atau pemangsa
terfikir misteri genetik atau teori revolusi
teori letupan hebat planet-planet galaksi
bintang berlaga dan membebas tenaga
misteri unsur, molekul atau debu
dari 118 jenis yang sudah dikenal pasti
unsur-unsur itu bergabung dan membentuk objek rumit
ada misteri sudah dikupas tapi banyak lagi masih misteri
perihal kita makhluk bergelar manusia mendukung perasaan
cinta, dendam, kesal, sayu dan kehilangan
gembira menyambut kelahiran
berkabung sedih di setiap kematian
penuh misteri, sukar dikawal dan tanpa jawapan.
Lee Keok Chih