ad

Eko pelancongan jadi tarikan tertinggi pelancong ke Selangor suku kedua 2025

7 Sep 2025, 1:01 AM
Eko pelancongan jadi tarikan tertinggi pelancong ke Selangor suku kedua 2025
Eko pelancongan jadi tarikan tertinggi pelancong ke Selangor suku kedua 2025

SHAH ALAM, 7 SEPT: Produk eko pelancongan kekal sebagai segmen paling mendapat sambutan pelancong ke Selangor bagi suku kedua tahun ini apabila mencatatkan 35 peratus daripada keseluruhan pengunjung.

Tourism Selangor dalam laporan Prestasi Kedatangan Pengunjung ke Produk Pelancongan Tumpuan di Negeri Selangor Suku Kedua 2025 memaklumkan, peningkatan itu menunjukkan kecenderungan pelancong terhadap aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pengalaman luar yang semakin mendapat tempat.

Eko pelancongan mengatasi segmen lain termasuk muzium dan galeri (20 peratus), taman tema (19 peratus), produk pelancongan lain (19 peratus) dan keagamaan (7 peratus).

Antara lokasi tumpuan eko pelancongan yang mencatat peningkatan ketara termasuk Taman Botani Negara Shah Alam, Sky Mirror, Selangor Fruit Valley, Taman Alam Kuala Selangor dan Paya Indah Discovery Wetlands.

Taman anggur di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya antara tarikan baharu pengunjung ke ladang buah-buahan itu ketika tinjauan pada 2 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.

Secara keseluruhan, seramai 3.23 juta pengunjung direkodkan mengunjungi 50 produk pelancongan utama di seluruh Selangor sepanjang April hingga Jun 2025, melonjak 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, pengunjung domestik mendominasi dengan 2.72 juta orang, manakala 512,708 pelawat antarabangsa direkodkan.

Prestasi pengunjung domestik mencatat pertumbuhan kukuh 55.3 peratus berbanding 2024, manakala pelancong antarabangsa menurun sebanyak 8.5 peratus meskipun menunjukkan pemulihan pada Mei dan Jun.

Tourism Selangor menjelaskan trend tersebut turut dipengaruhi promosi berterusan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 seperti kempen "Pusing Selangor Dulu" dan "Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!"

Laporan juga menunjukkan peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan pengalaman dan nilai warisan berbanding aktiviti hiburan semata-mata.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.