ad

Laluan sikal Mid Valley–LRT Universiti dibuka semula awal tahun depan (VIDEO)

7 Sep 2025, 2:21 AM
Laluan sikal Mid Valley–LRT Universiti dibuka semula awal tahun depan (VIDEO)

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Laluan sikal sepanjang 2.2 kilometer yang menghubungkan Mid Valley ke Stesen LRT Universiti dijangka kembali dibuka kepada orang ramai seawal awal tahun depan selepas ditutup sejak 2017.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Lembah Pantai Abdullah Izhar Mohamed berkata kerja pembinaan dan penambahbaikan sedang giat dijalankan dan dijangka siap hujung tahun ini.

“Sekiranya berjalan lancar, ia akan kembali dibuka kepada penunggang motosikal dan basikal seawal awal tahun depan,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas meninjau laluan berkenaan baru-baru ini.

Penutupan laluan strategik itu susulan pembangunan Lebuhraya Sprint melibatkan jajaran Kerinchi Link dan Bangsar South sebelum ini menimbulkan kesulitan kepada pengguna harian termasuk warga Petaling Jaya yang menjadikan laluan tersebut sebagai penghubung utama.

Tinjauan mendapati kawasan laluan yang sebelum ini tular dengan timbunan sampah telah dibersihkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas aduan dikemukakan kepada Pejabat Pusat Khidmat Lembah Pantai.

Abdullah turut menyarankan pemaju memasang papan tanda dan lampu bagi menjamin keselamatan pengguna sepanjang jajaran sepanjang tempoh pembinaan.

Beliau optimis laluan itu apabila siap kelak mampu menyediakan perjalanan lebih selamat, selesa dan mesra pengguna khususnya penunggang motosikal serta basikal.

Laluan berkenaan penting kerana menghubungkan dua kawasan tumpuan utama iaitu pusat bandar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang padat dengan pergerakan harian warga kerja serta pelajar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.