ad

Peserta acara kayuhan maut kemalangan dengan kereta di Langkawi

6 Sep 2025, 8:59 AM
Peserta acara kayuhan maut kemalangan dengan kereta di Langkawi

ALOR SETAR, 6 SEPT: Seorang peserta acara kayuhan berbasikal maut apabila terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Muda, Langkawi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa Low Beng Seng, 28, dari Langkawi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira 8.45 pagi.

“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang berkayuh dengan beberapa pelumba kelompok belakang dalam acara kayuhan sejauh 68 kilometer (km).

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan pelumba lain mengakibatkannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu wanita berusia 26 tahun, datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu di media sosial video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.