Hidup kadang-kadang berubah sekelip mata. Begitulah yang dilalui Muhammad Syahril Hasni, 45, apabila kerjayanya sebagai fisioterapi bola sepak terhenti selepas kelab tempatnya berkhidmat ditutup.
Dari sorakan di stadium dan padang hijau yang pernah menjadi dunianya, langkah bapa kepada dua anak ini kini beralih ke sebuah kebun kecil di Jeram, Selangor.
Di situlah tempat ratusan pokok buah tin tumbuh subur, menjadi saksi kepada lembaran baharu dalam hidupnya.
Segalanya bermula dengan cadangan daripada seorang kawan.
“Masa itu saya baru berhenti kerja, tak tahu nak buat apa. Kawan saya kata cuba tanam buah tin, sebab harga pasaran agak tinggi dan buahnya banyak khasiat.
“Bila saya tahu ia disebut dalam al-Quran, saya yakin pasti ada hikmahnya. Dari situlah hati saya kuat nak cuba,” ujarnya yang mesra disapa Syahril.

Pokok pertama yang dibeli pada 2017 bukan murah. Sepohon pokok kecil setinggi dua kaki berharga RM380, itu pun varieti biasa.
Namun demi harapan, Syahril sanggup melaburkan hampir RM8,000 untuk membeli 15 pokok pertama.
Pada mulanya, pokok-pokok itu hanya diletakkan di balkoni rumah. Lama-kelamaan, jumlahnya meningkat hingga 60 pokok.
Empat tahun kemudian, beliau menyewa sebidang tanah seluas 3,500 kaki persegi di Jeram, sekali gus membuka pintu rezeki baharu buat diri dan keluarganya.

Cabaran dan pengorbanan
Menanam buah tin di Malaysia tidak semudah disangka. Faktor iklim lembap dan kerap hujan membuatkan daun mudah ‘berkarat’ dan dijangkiti kulat.
“Apabila daunnya cantik, proses fotosintesis berjalan dengan baik. Itu yang memaniskan dan membesarkan buah.
“Maknanya, lagi subur daun, lagi berkualiti buahnya. Jadi kalau ada bumbung (rumah pelindung hujan), memang sangat membantu,” jelasnya.
Untuk mendapatkan hasil terbaik, beliau mencuba pelbagai cara daripada campuran tanah, sistem siraman hinggalah teknik pembajaan.
Kebunnya juga menggunakan sistem fertigasi automatik lengkap dengan pemasa, selain semburan foliar organik seminggu sekali.
“Kalau guna racun, kena tunggu 14 hari baru boleh petik buah. Jadi, saya hasilkan satu produk berasaskan teknologi dari Thailand. Walaupun disembur (racun), buah tetap selamat dimakan,” katanya.
Tidak ramai tahu, pokok tin antara tanaman paling “rakus baja”. Penjagaannya menuntut perhatian setiap hari, seolah-olah melatih Syahril untuk kembali berdisiplin seperti tugasnya suatu ketika dahulu.

Dari balkoni ke ratusan pokok
Kini, kebunnya mempunyai lebih 150 pokok dengan hampir 80 varieti berbeza. Antaranya Panino dell Abate, Bass Favourite Fig, Cdd Mutante dan Murse, nama-nama yang jarang sekali ditemui di Malaysia.
Namun hasilnya tetap belum mencukupi.
“Pokok buah tin tak berbuah serentak. Ada hari dapat dua, tiga biji saja dari setiap pokok.
“Kalau paling banyak pun dua, tiga kilo sehari. Itu pun biasanya habis dijual sekitar taman perumahan saya saja,” katanya.
Selain menjual buah segar, Syahril turut menawarkan anak pokok serendah RM50, selain baja, benih dan kawalan serangga.
Pasarannya bergerak melalui Facebook, Shopee dan TikTok bawah jenama Sadofit Garden. Kadang-kadang jualannya mencecah RM2,000 sehari, terutama apabila beliau melakukan siaran langsung di TikTok.

Cita-cita besar
Menyedari khasiat buah tin serta permintaan yang konsisten, Syahril menyimpan harapan besar.
“Saya nak setiap rumah ada sekurang-kurangnya satu pokok buah tin.
“Kalau susah nak beli buah segar sebab cepat rosak, biarlah orang tanam sendiri. Lagi segar, lagi berkhasiat,” katanya.
Perjalanan Syahril daripada padang bola ke kebun buah tin bukan sekadar kisah mencari rezeki.
Ia adalah cerita tentang menyebarkan manfaat buah sunnah tersebut, menyalurkan keberkatan dan membuktikan bahawa setiap ujian hidup sentiasa membuka pintu rezeki yang baharu.