KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Selangor Fruit Valley (SFV) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ladang buah-buahan tropika terbesar dan pusat agropelancongan terbesar negara.
Sijil pengiktirafan disampaikan wakil MBOR, Menaga Vadamalai kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim pada majlis di sini, hari ini.
Amirudin berkata pengiktirafan itu bukan sahaja hasil daripada tanaman yang dijalankan, malah penyelenggaraan rapi bagi memastikan pokok buah-buahan kekal subur di kawasan tersebut selain aktiviti agropelancongan yang ditawarkan.
Menurutnya, dengan keluasan lebih 1,000 hektar, SFV menjadi lambang kejayaan Selangor dalam pembangunan agro bersepadu sekali gus sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan untuk rakyat negeri ini dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Jadi saya percaya ia bukan hanya pengiktirafan kepada apa yang yang ditanam tetapi apa yang telah mampu kita selenggara. Kita jaga sehingga menjadi satu ladang buah-buahan (tropika) yang terbesar di Malaysia.
“Ia juga sebahagian usaha keterjaminan makanan. Yang kita tanam sebahagian daripadanya sayuran, jagung bijirin dan bawang juga kita mula tanam di sini,” katanya.
Terdahulu, Amirudin melepaskan lebih 800 peserta Ehsan SFV Fun Run 2025 yang menyertai larian melibatkan acara lima kilometer dan tiga kilometer dalam kawasan ladang berkenaan.

Menurut Amirudin, SFV menerima purata 1,000 pengunjung setiap hari menjadikan kira-kira 30,000 pengunjung melawati projek agropelancongan bersepadu yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.
“Kita juga lihat daripada sudut kewangan Selangor Fruit Valley telah mendatangkan hasil. Kita boleh naik taraf kemudahan-kemudahan yang ada di sini untuk memperbanyakkan lagi tarikan kepada penduduk dan masyarakat di negeri Selangor dan juga luar Selangor,” katanya.

SFV merupakan projek agropelancongan bersepadu yang dibangunkan PKPS dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai hab agro dan pelancongan berteraskan pertanian.
Pada peringkat awal, SFV berfungsi sebagai kawasan dusun komersial buah-buahan tropika sebelum berkembang kepada destinasi agropelancongan berskala besar yang menggabungkan rekreasi, pendidikan dan penyelidikan pertanian moden.
SFV memiliki ladang buah-buahan tropika dengan lebih 30 jenis tanaman buah-buahan seperti durian, nangcem, rambutan, nanas, jambu, belimbing dan kelapa selain aktiviti agropelancongan seperti mini zoo, taman arnab, ladang rusa, tram ride, berbasikal dan aktiviti air.