BANGKOK, 5 SEPT: Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul dipilih sebagai perdana menteri baharu Thailand selepas memperoleh undi majoriti di Parlimen pada Jumaat.
Ahli politik veteran berusia 58 tahun itu, yang mendapat sokongan oleh gabungan pimpinan Bhumjaithai dan parti pembangkang Parti Rakyat, menewaskan calon Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri dalam undian melibatkan 490 ahli, dengan memperoleh 311 undi berbanding 152 manakala 27 lagi berkecuali.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Anutin, kerana beliau dengan mudah melepasi ambang 247 undi yang diperlukan untuk dipilih sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baharu.
Proses pengundian yang bermula pada 3 petang waktu tempatan, selesai dalam tempoh sejam.
Speaker Dewan, Wan Muhamad Noor Matha akan mempersembahkan nama Anutin kepada Raja Maha Vajiralongkorn untuk mendapatkan perkenan baginda.
Anutin, bekas timbalan perdana menteri serta menteri dalam negeri dan kesihatan, merupakan tokoh utama dalam usaha Thailand memerangi wabak COVID-19.