ad

Banjir Hulu Langat: 160 rumah terjejas, pembersihan giat dijalankan

5 Sep 2025, 7:39 AM
Banjir Hulu Langat: 160 rumah terjejas, pembersihan giat dijalankan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerja-kerja pembersihan lebih 160 rumah di sepuluh kampung sekitar Hulu Langat yang terjejas akibat banjir kilat malam tadi sedang giat dijalankan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, operasi pembersihan dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan, manakala pemantauan serta kerja-kerja pembaikan tebing bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan secara berterusan.

“Banjir bukan sahaja menjejaskan kediaman, malah turut menyebabkan tebing runtuh serta pokok tumbang menghempap rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan sebahagian besar mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing, namun Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai masih dibuka buat sementara.

“Bantuan makanan segera disalurkan sejak malam tadi kerana penduduk tidak dapat memasak. Bantuan itu akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar pulih,” katanya lagi.

Menurut Johan, bancian jumlah kerosakan turut dijalankan bagi memastikan semua keluarga yang terjejas menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, paras Sungai Serai kini kembali normal, namun penduduk di kawasan rendah dinasihatkan terus berwaspada kerana cuaca mendung berisiko menyebabkan banjir berulang.

Semalam, tinjauan di media sosial mendapati beberapa rumah berhampiran sungai di Hulu Langat dinaiki air lumpur sehingga paras lutut selepas hujan lebat, dengan penduduk bersiap sedia memindahkan barangan berharga.

Sementara itu, satu video tular di media sosial menunjukkan bunyi siren kecemasan yang menandakan paras air sungai sudah melepasi paras bahaya, sekali gus memberi amaran kepada penduduk agar lebih berwaspada.

Antara kawasan terlibat termasuk Kampung Batu 14, Batu 13, Batu 17, Kampung Felcra Semungkis, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Tekali serta Taman Damai Batu 18.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.