ad

Perbadanan Wakaf Selangor optimis kutipan tunai cecah RM14 juta tahun ini

5 Sep 2025, 6:00 AM
Perbadanan Wakaf Selangor optimis kutipan tunai cecah RM14 juta tahun ini

SHAH ALAM, 5 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor menyasarkan kutipan wakaf tunai mencapai RM14 juta pada tahun ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Anuar Hamzah Tohar berkata pihaknya optimis peningkatan sehingga enam peratus itu dapat dicapai berdasarkan prestasi kutipan tahun lalu yang berjumlah RM13 juta.

“Sehingga Julai lalu, jumlah kutipan wakaf tunai melebihi RM6 juta manakala wakaf khas pula RM27 juta. Kita jangka berlaku kenaikan sehingga enam peratus berdasarkan beberapa faktor termasuk kesedaran pewakaf semakin meningkat.

“Biasanya individu atau syarikat akan melaksanakan wakaf pada hujung tahun dan tidak mustahil sasaran dicapai dengan pelaksanaan kempen yang perbadanan lakukan,” katanya.

Ditemui pada Program Santai Boling Bersama Media, beliau memaklumkan pihaknya akan meneruskan kempen wakaf di syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pusat bagi berkongsi manfaat berwakaf.

“Untuk berwakaf kini amat mudah dan pelbagai platform kita sediakan antaranya mengimbas kod QR, potongan gaji atau auto ebit. Kepercayaan syarikat atau individu membantu kepada lebih ramai hendak berwakaf.

“Antara yang berjaya dilaksana sama ada menerusi wakaf tunai atau wakaf khas adalah pembinaan stesen minyak di Sungai Merab, Kajang yang hasilnya diberikan kepada masjid dan pembinaan kompleks warga emas di Kampung Kuantan, Kuala Selangor,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.