SHAH ALAM, 5 SEPT: Seramai 15 mangsa daripada lima keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai setakat 10.30 pagi tadi.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan mereka dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir semalam dan keadaan di PPS terkawal dengan pemantauan pasukan keselamatan dan agensi berkaitan.
Antara terlibat ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

Bagi menjaga kebajikan mangsa, PKD Hulu Langat turut menjalankan saringan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan mereka terjamin sepanjang berada di pusat pemindahan.
Penduduk terjejas juga dinasihatkan segera berpindah ke PPS berhampiran sekiranya paras air meningkat bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Semalam, tinjauan di media sosial mendapati beberapa rumah berhampiran sungai di Hulu Langat dinaiki air lumpur sehingga paras lutut selepas hujan lebat, dengan penduduk bersiap sedia memindahkan barangan berharga.
Sementara itu, satu video tular di media sosial menunjukkan bunyi siren kecemasan yang menandakan paras air sungai sudah melepasi tahap bahaya, sekali gus memberi amaran kepada penduduk agar lebih berwaspada.