ad

Pemimpin HARAPAN Sabah sedia salur bantuan SARA kepada rakyat memerlukan

5 Sep 2025, 2:04 AM
Pemimpin HARAPAN Sabah sedia salur bantuan SARA kepada rakyat memerlukan

KOTA KINABALU, 5 SEPT: Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah bersedia memanjangkan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang diterima mereka kepada golongan memerlukan di kawasan masing-masing, sebagai usaha membantu rakyat memperoleh keperluan asas.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, berkata langkah itu diharap dapat meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

“Selaku Pengerusi MPN, saya menyarankan agar ketua-ketua cabang di 25 cabang di Sabah menggerakkan inisiatif yang sama. Wakil rakyat dan pemimpin parti yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Persekutuan juga digalakkan menyalurkan bantuan Penghargaan SARA kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi DAP Sabah berkata wakil rakyat parti itu bersedia menggunakan sumbangan SARA untuk menyalurkan barangan keperluan asas kepada rakyat yang memerlukan.

“Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) saya sedang membantu rakyat menggunakan sumbangan tersebut. Saya juga akan menyalurkan bantuan SARA kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

ADUN Kapayan Datuk Jannie Lasimbang pula berkata beliau tidak keberatan menyalurkan bantuan SARA kepada individu atau keluarga memerlukan.

“Sebagai seorang pemimpin, saya akan memastikan program sebegini benar-benar sampai kepada golongan sasar dan memberi manfaat kepada mereka. Saya turut bercadang mengajak rakan-rakan pimpinan lain menyumbang barangan melalui SARA kepada keluarga memerlukan,” kata wakil rakyat DAP itu.

Orang ramai membeli barangan keperluan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam program Karnival 100 Je DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 1 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Di Perak, dua ADUN KEADILAN memilih berkongsi sumbangan SARA RM100 yang diterima mereka kepada penduduk Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri dan ADUN Teja berkata lokasi itu dipilih kerana berada di bawah portfolionya dan inisiatif diatur bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) setempat.

“Walaupun jumlahnya kecil, saya berharap sumbangan ini dapat menampung sedikit sebanyak belanja dapur dan keperluan harian penerima,” katanya kepada Bernama.

ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi, menasihatkan penerima bantuan SARA merancang pembelian untuk mengelak kesesakan di pasar raya.

Wong turut merancang membawa golongan kurang berkemampuan dalam Parlimen Gopeng membeli barangan keperluan di lokasi terpilih, terutama warga emas dan asnaf yang tidak mempunyai kenderaan.

“Bagi saya, ia ibarat satu usaha yang menyentuh dua perkara sekaligus; apabila kita menyumbang, kita juga mengeratkan hubungan dengan rakyat,” katanya.

SA

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memilih barangan keperluan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 untuk disalurkan kepada golongan memerlukan pada 31 Disember 2025. Foto Facebook Nurul Izzah Anwar

Pada 31 Ogos lalu, Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, mengajak wakil rakyat parti itu dan orang ramai yang berkemampuan untuk pass it forward, iaitu menyalurkan bantuan SARA RM100 yang diterima mereka kepada golongan memerlukan.

Penghargaan SARA sebanyak RM100 mula disalurkan pada 31 Ogos melalui MyKad, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas dengan peruntukan RM2 bilion.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.