ad

Penduduk Tebing Barat berdepan pemindahan paksa besar-besaran

5 Sep 2025, 12:19 AM
Penduduk Tebing Barat berdepan pemindahan paksa besar-besaran

GENEVA, 5 SEPT: Pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières - MSF) pada Khamis memberi amaran bahawa rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sedang berdepan pemindahan paksa secara besar-besaran oleh tentera Israel dan peneroka haram Israel, sekali gus meningkatkan ancaman pembersihan etnik di wilayah diduduki itu.

Pertubuhan itu berkata dasar Israel yang bertujuan untuk mengilhakkan tanah di Tebing Barat merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

“Sepanjang 2025, pasukan MSF telah menyaksikan dasar dan amalan yang secara terang-terangan direka untuk mengusir penduduk dari tanah mereka dan menghalang sebarang kemungkinan untuk kembali,” kata MSF dalam satu kenyataan.

MSF menegaskan bahawa menamatkan pendudukan Israel kekal sebagai satu-satunya cara untuk mengurangkan penderitaan teruk yang dialami rakyat Palestin.

Pertubuhan itu menggesa negara-negara - termasuk Amerika Syarikat dan anggota Kesatuan Eropah - supaya memberikan tekanan yang berkesan untuk menghentikan amalan yang memudaratkan dan mengusir rakyat Palestin, serta memastikan pendudukan haram itu ditamatkan.

MSF turut menyatakan bahawa penderitaan akibat pendudukan semakin dianggap normal berbanding sebelum ini, sesuatu yang digambarkan sebagai trend membimbangkan berdasarkan 36 tahun penglibatannya dalam menyediakan rawatan perubatan dan psikologi di Palestin.

-- BERNAMA-WAFA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.