ad

Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober

5 Sep 2025, 2:01 AM
Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober
Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober
Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober
Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober
Stesen minyak pertama dibina atas tanah wakaf dijangka beroperasi Oktober

SHAH ALAM, 5 SEPT: Malaysia bakal mencatat sejarah apabila stesen minyak pertama negara didirikan di atas tanah wakaf dengan kos kira-kira RM9 juta, sekali gus membuka dimensi baharu wakaf yang sebelum ini sering dilihat terbatas kepada pembinaan masjid, surau dan tanah perkuburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar, berkata projek perintis itu membuktikan potensi wakaf dalam menjana manfaat ekonomi dan sosial yang lebih luas kepada masyarakat.

Menurutnya, projek pembinaan stesen minyak di tanah seluas 1.2 ekar di Sungai Merab, Bangi itu, kini mencapai kemajuan 90 peratus dan dijangka beroperasi Oktober ini.

“Di tapak itu juga, bukan saja dibangunkan stesen minyak, tetapi juga kiosk yang akan disewa. Stesen minyak ini adalah 100 peratus milik penuh PWS dan yang mengoperasikannya pun adalah anak syarikat PWS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor Anwar Hamzah Tohar ditemui di Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 18 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Hasilnya nanti, 50 peratus kita serahkan kepada apa yang diniatkan oleh pewakaf yang mahu manfaatnya disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar. Jadi kita kena kembalikan (hasil contohnya) sewaan kepada masjid itu.

“Sebahagiannya lagi, akan digunakan oleh anak syarikat PWS untuk pusingan modal. Jadi kalau ada keuntungan yang lain, kita akan lihat semula dan mungkin boleh diagihkan di kawasan sekitar seperti surau atau masjid,” katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, model pembangunan stesen minyak mengambil inspirasi daripada beberapa negeri lain yang sebelum ini melaksanakan pembangunan kemudahan itu di tapak Baitulmal di bawah seliaan majlis agama.

“Model stesen minyak ini sebenarnya kita dapat pengalaman dari negeri yang membangunkan tapak, tapi di bawah majlis agama, tapak Baitulmal. Kemudian kita lihat semula, kajian itu kita buat di Selangor, dibuat di atas tapak tanah wakaf. Jadi ini satu perkara yang barulah.

“Perkara ini juga telah pun kita bawa kepada Jawatankuasa, pandangan Dato’ Mufti dan sebagainya. Jadi mereka positif. Tidak ada masalah untuk kita bangunkan tapi mesti dikembalikan semula manfaatnya kepada apa yang diniatkan oleh pewakaf. Kena pastikan rukun syarak itu dipatuhi supaya tidak lari daripada konsep wakaf sebenar,” katanya.

Tambahnya, selain stesen minyak, model komersial wakaf yang dilaksanakan PWS turut melibatkan bidang agropelancongan termasuk tanaman nanas di Sungai Merab, Bangi dan rock melon di Klang.

“Tanaman nanas iaitu Saudagar Nanas Agrofarm di Sungai Merab melibatkan lebih lapan ekar tanah dibangunkan penyewa dengan projek agropelancongan. Hasil sewaan tanah itu kita kembalikan manfaatnya kepada Masjid Sungai Ramal Luar seperti diniatkan pewakaf.

“PWS turut merancang membangunkan empat lagi tapak tanah wakaf sekitar Klang, Pelabuhan Klang dan Hulu Langat sebagai stesen minyak untuk model komersial wakaf seterusnya,” katanya.

Jelasnya, instrumen yang digunakan untuk membangunkan sesuatu tapak tanah wakaf juga bergantung kepada niat pewakaf itu sendiri, sekali gus memastikan manfaatnya dapat disalurkan mengikut hasrat asal pewakaf.

“Kita kena tengok niat perwakaf. Jika niat perwakaf untuk manfaat, mudah untuk kita bangunkan. Tapi kalau dia niatkan untuk pembinaan tapak masjid, kena bangunkan masjid (walaupun sudah ada masjid di kawasan berkenaan). Untuk mengubah niat perlu dibentangkan semula dalam jawatankuasa fatwa.

“Tapi kalau dia niat, untuk manfaat masjid maka kita boleh dirikan apa saja di atas tapak berkenaan (yang menepati syarak) dan kembalikan (hasil) untuk manfaat masjid atau apa saja yang diniatkan oleh pewakaf,” katanya.

Selain itu, katanya setiap pembangunan tanah wakaf perlu melalui kajian terperinci bagi menentukan bentuk pembangunan paling sesuai mengikut kedudukan dan potensi tanah berkenaan.

“Apabila kita nak bangunkan satu-satu tanah, kena buat kajian, tengok kedudukan tanah itu di mana. Kalau tepi jalan, kemudian ada ciri-ciri komersial, pembangunan untuk tanah tersebut dibangun secara komersial.

“Kalau tanah tersebut mungkin syarat tanahnya pertanian dan kita tengok di keliling kawasan itu memang sesuai untuk dibangunkan pusat pertanian, jadi kita akan bangunkan dalam bentuk yang begitu.

“Jadi sebelum satu-satu tanah tu kita bangun, kita akan buat kajian dan lihat sejauh mana komersial tadi memberi manfaat yang lebih besar,” katanya.

Menurutnya, dimensi wakaf perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas, bukan hanya tertumpu kepada aspek tradisi seperti pembinaan masjid, surau atau tanah perkuburan, tetapi turut merangkumi pembangunan pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat seperti yang telah lama dipraktikkan di beberapa negara termasuk Turkiye dan Singapura.

“Kita juga merujuk kepada negara yang ke arah komersial wakaf antaranya Turkiye dan Singapura. Seperti di Turkiye lebih kepada konsep bukan sahaja sosial tetapi juga ekonomi yang mana mereka membangunkan bank wakaf dan pembangunan pusat perniagaan.

“Di Singapura anak syarikat majlis ugama Islam Singapura, walaupun tanah wakaf itu dibangunkan dalam bentuk pembangunan masjid dan surau tetapi di atas tapak tersebut ada komersial dengan pembangunan apartmen dan pembinaan pusat perniagaan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.