ad

150 pelajar mangsa letupan Putra Heights terima RM500, komputer riba

5 Sep 2025, 1:00 AM
150 pelajar mangsa letupan Putra Heights terima RM500, komputer riba

SHAH ALAM, 5 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan bantuan wang tunai RM500 dan sebuah komputer riba kepada 150 pelajar sekolah yang terkesan dalam insiden letupan di Putra Heights.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, kaunter khas dibuka di Bangunan Darul Ehsan selama tiga hari bermula Selasa hingga hari ini bagi memudahkan urusan penyampaian bantuan.

“Melalui sumbangan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Putra Heights sebelum ini, kami dapati terdapat data pelajar yang tertinggal sehingga ada yang merungut tidak menerima bantuan.

“Kemudian, kami mendapatkan data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor serta Pejabat Tanah dan Daerah Petaling untuk semakan silang dengan maklumat sekolah. Selepas dikemas kini, bantuan akhirnya dapat disalurkan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan, wang tunai tersebut diperuntukkan melalui Yayasan MBI membabitkan pelajar dari 30 sekolah termasuk swasta, manakala komputer riba merupakan sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya berharap penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin untuk tujuan pendidikan. Ia adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dan MBI terhadap nasib mereka selepas kejadian itu.

“Terima kasih kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil atas sokongan meluluskan peruntukan melalui SKMM bagi pemberian komputer riba ini,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.