KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Sindiket penjualan kandungan pornografi bayi dan kanak-kanak yang ditumpaskan baru-baru ini dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata ia susulan pihaknya menerima maklumat daripada pihak berkuasa negara luar berkenaan aktiviti penjualan kandungan pornografi membabitkan kumpulan itu.
Beliau berkata terdapat banyak rakaman video dan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak telah dimuat naik dalam laman gelap (dark web) tertentu yang mempunyai jaringan antarabangsa.
"Bagi siasatan terhadap sindiket ini polis mengalami kesukaran untuk mengesan pemilik dan individu yang mempunyai akses kepada dark web tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan antara Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama platform media sosial Tiktok di Bukit Aman di sini hari ini.
Kumar memaklumkan setakat ini tiada penahanan terbaharu dilakukan, selepas 11 orang termasuk dalang ditahan di Johor Bahru menerusi Op Pedo pada 19 Julai hingga 19 Ogos lepas.
Pada 29 Ogos lepas dilaporkan polis berjaya membongkar aktiviti sindiket pedofilia menerusi Ops Pedo, operasi selama sebulan oleh Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) PDRM dan agensi antarabangsa.