ad

76,002 kandungan TikTok dipadam sejak Januari - Fahmi

4 Sep 2025, 11:32 AM
76,002 kandungan TikTok dipadam sejak Januari - Fahmi

SHAH ALAM, 4 SEPT: Sebanyak 76,002 kandungan diturunkan daripada platform media sosial TikTok sejak 1 Januari lalu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi turut meminta 10,730 kandungan lain diturunkan, namun tidak dipatuhi pengendali aplikasi tersebut, lapor Berita Harian.

“Ini bermakna peratusan penurunan ialah 86 peratus. Perlu difahami tindakan itu dibuat oleh platform sendiri mengikut garis panduan komuniti mereka.

"Walaupun SKMM membuat permintaan, namun ia (diturunkan) berdasarkan garis panduan komuniti platform terbabit,” katanya selepas bertemu dengan pengurusan tertinggi TikTok bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM di Bukit Aman hari ini.

Fahmi berkata isu berbangkit berkaitan TikTok turut dibincangkan termasuk jenayah siber dan buli siber yang dilihat masih kurang diberi perhatian platform berkenaan.

Beliau dimaklumkan PDRM membuka beberapa kertas siasatan membabitkan aplikasi itu, namun TikTok didakwa lambat memberi maklumat terutama dalam kes penipuan dalam talian.

"Jadi kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta SKMM bagi meletakkan perkara untuk diutamakan pihak TikTok supaya kita dapat segera selesaikan masalah ini," katanya.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan kerajaan tidak bercadang menyekat TikTok kerana aplikasi itu turut memberi manfaat termasuk menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat.

“Isu utama yang perlu ditangani adalah penipuan, buli siber dan pematuhan undang-undang negara oleh TikTok,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.