SHAH ALAM, 4 SEPT: Kehilangan pekerja wanita berkemahiran dan berpengalaman pada usia 30-an sebenarnya lebih merugikan majikan berbanding penyediaan kemudahan seperti cuti bersalin dan ruang penjagaan kanak-kanak di pejabat.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata pengekalan wanita dalam tenaga kerja jauh lebih bernilai kepada syarikat berbanding mengelak kos berkaitan dasar mesra keluarga.
Beliau berkata penyediaan cuti bersalin dan kemudahan penjagaan anak sepatutnya dilihat sebagai amalan perniagaan bertanggungjawab yang akhirnya menyerlahkan keperibadian majikan.
“Tanggapan bahawa mengambil wanita bekerja lebih mahal kerana cuti bersalin, kemudahan penjagaan anak dan pengaturan kerja fleksibel (FWA) adalah pandangan yang salah dan sempit.
"Kos ini tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya pelaburan strategik dalam tenaga kerja yang pelbagai, berkemahiran dan mampan,” katanya mengulas kaji selidik Bank Dunia mengenai amalan pekerjaan inklusif.
Menurut kaji selidik Bank Dunia, walaupun 60 peratus firma bersetuju pengambilan wanita meningkatkan produktiviti dan inovasi namun ramai yang masih beranggapan ia tidak berbaloi kerana perlu menyediakan beberapa kemudahan lain buat golongan berkenaan.
Mengulas senario berkenaan, Hussain berkata, sikap berkenaan hanya merugikan pertumbuhan ekonomi negara kerana ia menghalang syarikat memanfaatkan bakat tenaga mahir sedia ada di Malaysia.
Daripada sudut perniagaan, katanya lagi, kehilangan pekerja wanita pertengahan kerjaya juga akan menjejaskan perancangan penggantian, mengurangkan pemimpin berpotensi masa hadapan selain meningkatkan kos pengambilan pekerja baharu dalam sektor kurang tenaga mahir.