ad

Kes anjing serang kanak-kanak: MPKj rujuk jabatan veterinar sebelum tindakan lanjut

4 Sep 2025, 7:45 AM
Kes anjing serang kanak-kanak: MPKj rujuk jabatan veterinar sebelum tindakan lanjut

SHAH ALAM, 4 SEPT: Anjing yang menyerang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Taman Megah, Cheras semalam ditempatkan berasingan di pusat tahanan haiwan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Jabatan korporat dan pembangunan masyarakat MPKj berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Susulan kejadian itu, majlis menghantar pasukan unit tangkapan anjing terbiar ke lokasi dan berjaya menangkap haiwan yang dipercayai mencederakan kanak-kanak berkenaan.

“MPKj turut menghantar kakitangan menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing hari ini serta melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran dikawasan sekitar,” katanya menerusi kenyataan.

Jabatan itu turut menyeru agar pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan masing-masing ke luar premis tanpa pengawasan.

“Bagi pemilik yang tidak lagi berhasrat memelihara anjing mereka boleh menyerahkan haiwan tersebut kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pemilik juga boleh menghubungi pihak MPKj sekiranya memerlukan maklumat lanjut,” katanya.

Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada abang mangsa berusia 20 tahun kira-kira jam 11.41 malam tadi.

Pengadu yang bekerja sebagai jututeknik itu menyatakan adiknya diserang dan digigit anjing terbabit pada 6.30 petang ketika bermain di jalan hadapan rumah keluarganya.

“Mangsa dikatakan sedang bermain basikal di kawasan berhampiran dan secara tiba-tiba seekor anjing kebetulan berada di situ terus menyerang mangsa.

“Tindakan pantas beberapa jiran datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terus dikejarkan ke hospital dan kini ditempatkan di Hospital Kajang dalam keadaan stabil,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.