SEREMBAN, 4 SEPT: Dua kanak-kanak dikhuatiri terperangkap selepas kenderaan yang dinaiki bersama ibu dan bapa mereka terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas, Port Dickson, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.44 pagi bahawa terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Teana yang terjatuh ke dalam sungai.
“Siasatan awal mendapati terdapat empat mangsa di dalam kereta terbabit, namun pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an berjaya diselamatkan oleh orang awam.
“Namun, dua lagi mangsa membabitkan kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia enam dan lapan tahun masih terperangkap dan belum diketahui keadaan mereka," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Operasi menyelamat membabitkan 10 anggota bomba dan dibantu agensi lain itu masih diteruskan.