ad

KPDN serbu rumah terapung Tasik Banding, sita 79 tong gas bersubsidi

4 Sep 2025, 2:15 AM
KPDN serbu rumah terapung Tasik Banding, sita 79 tong gas bersubsidi

IPOH, 4 SEPT: Sebanyak 79 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi disita kerana didapati digunakan tanpa kebenaran, dalam serbuan di sebuah rumah terapung di Tasik Banding, Gerik semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 1.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan anggota penguat kuasa selama seminggu di lokasi terbabit.

"Hasil serbuan menjumpai 79 tong LPG bersubsidi 12 kilogram yang digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan pemanasan air untuk perawatan ikan.

"KPDN mengambil tindakan menyita sejumlah 79 tong LPG bersubsidi dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM7,460," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata pemilik rumah terapung berkenaan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Beliau berkata pembekal LPG terlibat turut disiasat mengikut Peraturan 9(2) PPKB 1974 kerana menjual barang kawalan berjadual kepada pihak tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.