KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu ditemukan selamat di Ampang, Selangor, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata punca kehilangan Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, masih dalam siasatan dan hasilnya akan dimaklumkan kemudian.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memberikan maklumat sehingga orang hilang berjaya ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ammar kali terakhir dikesan mandi bersama rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor pada 23 Ogos.
Beliau bertugas di Pangkalan Tentera Udara Subang dan kini dalam tempoh menjalani kursus penyelia pengangkutan kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), TUDM Bandar Kinrara, Puchong.
Pada 24 Ogos, rakan sebilik kursus menghubungi lelaki itu namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan sebelum anggota TUDM dari INSMAT membuat laporan polis pada 25 Ogos, 4.16 petang kerana Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula ke institut itu.
- BERNAMA