SHAH ALAM, 3 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar Switzerland ke Malaysia, H.E. Chantal Moser di pejabat beliau bagi membincangkan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pelaburan antara Selangor dan Switzerland.
Amirudin berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) selain pembangunan sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, penerbangan serta projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) yang sedang dipacu Kerajaan Negeri.
“Kami juga membincangkan mengenai pelaburan dan perniagaan sedia ada di Selangor, di mana saya menekankan model mesra pelabur negeri ini yang mengutamakan kecekapan serta proses yang lebih pantas.
“Pada masa sama, kami bertukar pandangan mengenai cabaran dalam landskap perdagangan global termasuk implikasi tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat,” ujarnya menerusi kenyataan di Facebook.
Jelas beliau, latar belakang diplomatik yang luas serta kepakaran ekonomi dan kewangan termasuk penguasaan pelbagai bahasa yang dimiliki Chantal Moser menjadikan beliau rakan strategik penting dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala.
“Kerajaan Negeri yakin lawatan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam inovasi, pelaburan serta pertumbuhan mampan, selain memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama pasaran Asean,” katanya.